m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Friday, June 19, 2015

Bangsawan Kota Lukut: Menyingkap sejarah

Babak 1

(Bagi pembaca budiman yang biasa melayari nukilanku dalam "adisarah berkisah", sudah wajar pasti sangat mengerti gaya penulisanku yang sangat santai, kecamuk dalam berbahasa, dan ekspresif dalam berkisah. Izinkan kali ini aku berbicara dalam nada yang berbeza. Biarpun canggung ketika jemariku menekan papan kekunci, namun niatku hanyalah untuk mengulas kisah agar kalian lebih terusik tatkala menelan butir-butir kata yang aku ungkapkan. Teruskan menyusur laman ini).

Poster Bangsawan Kota Lukut.
Mahkota Alam.
Mengenengahkan Kota Lukut di kalangan khalayak, adalah mendekatkan sejarah kepada rakyat. Siapakah Lukut? Siapakah 'Kota' yang mendampingi Lukut? Soalan itu mungkin tidak akan terjawab sepenuhnya melalui Bangsawan Kota Lukut. Namun ia diharapkan dapat mencuit minda agar terdetik dalam hati untuk mencari dan mengenali siapakah gerangannya pemilik nama-nama itu.

Suasana di balairong seri.
Paduka Raja berinteraksi dengan Jeneral Anson.
Jeneral Anson menyatakan permintaannya.
Kali ini aku duduk di sebuah kerusi yang sederhana empuk. Di sebelahku isteriku, dan anak-anak kami, Amier, Wanie dan Syahmie. Aku berkisah sebagai seorang penonton yang tiba lewat ke Auditorium DBKL. Dan sebagai seorang penggemar seni teater, dan tidak lebih dari itu. Apatah lagi mengakui diri sebagai sang arif mengenai dunia dan ilmu persembahan. Itu sudah tentu tidak sama sekali. Benak kubiarkan kosong seketika, agar mudah menyerap masuk maksud kisah yang dipaparkan oleh pelaku.

Tauke Panggung - En Roslan Madun sedang memberi sedikit maklumat mengenai bangsawan.
Set untuk babak seterusnya sedang disiapkan.
Di suasana rimba - Penghulu Lela Antah sedang berkisah dengan pahlawan-pahlawan Lukut.
Kisahnya dihalang dari memasuki istana amat mengejutkan semua.
Pahlawan-pahlawan Lukut tersentak.
Lantas semangat mereka semakin membuak-buak.
Bila tabir disingkap, sebuah balairong seri dinampakkan. Suasana yang pada asalnya santai damai, bertukar menjadi tegang bila Penghulu Lela Antah membuka mulut, menyuarakan pendapat. Datuk Mamanda Angkasa memintas bagi menyebelahi Jeneral Anson. Paduka Raja yang bagai lalang dan amat kabur jiwanya, menerima usul Datuk Mamanda Angkasa tanpa periksa.

Datuk Jalaluddin Hassan mengisi slot extra-turn.
Mendendangkan lagu Biar Bulan Berbicara.
Penonton amat terhibur dengan persembahan bertenaga beliau.
Di perkarangan rumah Datuk Mamanda Angkasa.
Datuk Mamanda Angkasa cuba meyakinkan Tengku Wangsa akan rancangan liciknya.
Silap mata belon....
.....yang sebenarnya bukanlah sebuah silap mata.
Kesuma Wati berdendang merintih keseorangan.
Adijaya datang memujuk Kesuma Wati.
Tiba-tiba Tengku Wangsa dan orang-orangnya datang mengganggu.
Suasana tegang. Berbalas-balas bicara.
Pertarungan di antara Tengku Wangsa dan Adijaya.
Bangsawan Kota Lukut turut mendidik penonton mengenai 'bangsawan' itu sendiri ketika ruang 'extra-turn' dibuka. Barulah aku mengerti maksud Mahkota Alam dan cerminannya. Ruang extra-turn turut diisi dengan nyanyian lunak dan bertenaga oleh Datuk Jalaluddin Hassan, yang turut memegang watak sebagai Paduka Raja. Mengalunkan lagu Biarlah Bulan Bicara (Broery Marantika), dewan jadi tepu dengan kehebatan nyanyian beliau. Inilah pertama kali aku mendengar secara langsung nyanyian seorang tokoh seni ini. Jauh lebih menyerlah dan menghiburkan dari mendengarnya di kaca televisyen. Turut mengisi ruang extra-turn adalah persembahan 'silap mata belon' serta persembahan yang mengejutkan dengan kehadiran beberapa ekor ular sawa batik yang gadang.

Bersambung...

Extra-turn selanjutnya membawakan sekumpulan ular sawa batik.
Ular sawa membelit penonton.
Keluargaku yang datang menonton Bangsawan Kota Lukut.
Cuma Sabriena yang tak bersama kami ketika ini.

No comments:

Post a Comment