m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, March 1, 2011

Fuh fuh fuh! Keretaku kepanasan

Radiator kering dan enjin kepanasan bukanlah masalah baru bagi kereta aku. Tapi pada Jumaat lepas ketika hujan melimpahi bumi Kuala Lumpur pada petangnya, telah mengundang kesesakan lalulintas yang amat luar biasa keadaannya. Aku memandu keretaku masuk ke terowong SMART dan tak sampai 300 meter, lalulan sudah mula sesak. Kereta merangkak-rangkak di dalam terowong. Pemandu-pemandu hanya berbekalkan kesabaran meredah laluan sempit dengan sistem pengudaraan yang tidak begitu menyamankan.


Mengetahui masalah yang ada pada kereta, aku terpaksa memandu tanpa menghidupkan pendingin udara dan tanpa membuka tingkap untuk mengelakkan karbon monoksida dari masuk ke bahagian dalam kereta. Memandu dalam keadaan begitu seolah-olah sedang duduk di kamar sauna. Mataku tak lepas dari terus menjeling ke arah meter suhu. Yang paling aku risaukan adalah bila jarum meter menyentuh penanda merah pada bacaannya. Itu bermakna enjin sudah betul-betul panas, membara, marah, letih, meraung meminta diberhentikan. Namun aku sempat sampai di pejabat isteriku tanpa keretaku membuat ragam.

Tetapi ketika keretaku menyusuri lebuhraya AKLEH, meter suhu tiba-tiba naik dan mencapai tahap amaran panas. Aku jadi panik. Opocot! Apa aku nak buat. Perjalanan diteruskan sehingga kami tiba di simpang Ampang Jaya. Tiba-tiba enjin keretaku mati di tengah-tengah jalan dan tak boleh dihidupkan semula. Aku dan isteri perlu menolak kereta ke tepi jalan tetapi arus kenderaan tak menunjukkan tanda-tanda mereda. Kami ternampak kelibat kereta peronda polis. Aku melambai-lambai pada mereka mengharapkan bantuan. Tetapi mereka berlalu sambil berfikir aku sedang membuat gurauan sarkis terhadap mereka. 

Tak semena-mena datang seorang pemuda Cina menawarkan diri untuk menolak kereta kami. Aku mengawal trafik, isteriku mengawal steering, dan pemuda itu menolak kereta berseorangan sehinggalah kami sampai ke kawasan tempat letak kereta berdekatan. Berkali-kali kami mengucapkan terima kasih kepada pemuda yang tak kami kenali itu.

 
Pada hari Sabtunya kami menghantar kereta ke bengkel. Tukar radiator yang bocor, tukar pam air yang bocor, tukar paip yang karat. Nasib baik tak tukar enjin. RM320 terbang melayang-layang dan hinggap ke dalam poket mekanik bengkel.

Hari ini kereta aku dah sihat dari demamnya. Dan aku harap untuk jangkamasa yang sangat lama.







No comments:

Post a Comment